April 03, 2018

Lebih baik


Putaran waktu tak bisa ke belakang,
Aku tidak bisa menjadi lebih muda seperti dulu.
Mustahil untuk aku pejam mata dan berharap pabila ia celik,
Ibu Ayah sedang mendodoi memujuk aku dengan selawat menjunjung Nabi 
mahupun dengan 'Adik jangan nangis, Ibu buat kerja'.


Tak. Mana mungkin.


Ada penyesalan yang kadang kadang aku salahkan Tuhan.
Bukan tiada iman. Masih ada.
Cuma terlalu penat melakukan kesilapan,
Sehingga rasa 'Aku mahu lari. Buat apa aku masih di sini. Baik mati'.
Aku menyalahkan takdir hidup. 
Berleter tentang apa yang tiada. Berharap untuk semua ada sedia kala.
Ada masa 'Kau boleh tak jangan campurkan urusan ini dengan kaitan Tuhan?'
'Kau boleh berhenti untuk cakap bersabarlah, ini semua ada hikmah?'


Iya, aku sudah nyatakan, aku cakap seperti tidak berTuhan.
Tapi masih ada iman. Masih ada.


Aku tak reti untuk buang memori durjana yang aku ada.
Mereka terus enak bermain dalam fikiran aku.
Ingin saja aku persetankan, kerana sudah cukup aku rasa penyesalan.
Sudah cukup untuk aku tahu itu salah dan jangan ulang.
Tapi durjana itu tak mahu pergi.
Lagi mengilai mereka lihat aku menjadi tidak waras.


Tidak waras. Aku benci untuk lihat diri sendiri terperangkap begitu.


Bagi manusia yang sentiasa ada dalam hidup,
Mengingatkan yang mekarnya bunga pasti akan layu jua,
Aku tidak lekang berdoa supaya Tuhan jaga kalian.
Sudah banyak kalian berikan. Mungkin juga ini bantuan dari Tuhan.
Semoga Dia balas yang baik baik.
Kerana kalian tempat aku berpaut.
Andai aku lepaskan pautan ini, aku mati.
Sendiri.


Penipuan terbesar yang aku pernah lakukan?
Bila aku bisikkan pada telinga, tanamkan pada hati,
'Kau kuat dan kau mampu'.


Haha. Itu semua retorik. Gila.


Aku tidak tulis kalau aku tidak rasa. Pernah dan masih.
Kerana apa yang ada pada aksara jika jiwanya tiada.
Sepertinya pelukis yang berkarya,
Mustahil jarinya menari membabi buta di atas kanvas.
Ada jiwa yang mengalir bersama warna yang dicalit.


Ini semua tentang aku. 


Buat kalian,
Hiduplah kalian semula. Hiduplah.
Setiap kelam pasti ada sinarnya.
Setiap suram pasti ada warnanya.


Izinkan aku mencuri sedikit kebahagiaan kalian.
Supaya aku masih percaya hidup ini bukan sialan.





No comments:

Post a Comment